BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

adik cuma tanya je ibu

Friday, August 13, 2010

Gejala Vandalisme


Oleh: NURAINI BINTI RAMLI

Definisi Vandalisme

Gejala sosial merupakan satu masalah yang semakin berleluasa sejak dahulu sehingga kini. Gejala sosial sering kali dikaitkan dengan golongan remaja. Namun kita harus sedar bahawa tidak semua remaja terlibat di dalam gejala ini. Hanya segolongan kecil sahaja yang sering melakukan perbuatan yang tidak mendatangkan faedah ini.

Apa yang dimaksudkan dengan vandalisme? Sebagaimana yang kita tahu vandalisme merujuk kepada tabiat seseorang membinasakan atau merosakkan harta benda awam dan harta benda orang lain. Perkataan vandalisme ini berasal daripada nama sebuah puak di Eropah, iaitu Vandal.

Vandalisme juga merujuk kepada penambahan, penghapusan, atau pengubahan dengan sengaja. Pada lazimnya, vandalisme dianggap sebagai satu bentuk jenayah, tetapi pada keadaan tertentu, vandalisme merupakan satu bentuk ritual yang dilakukan oleh segolongan manusia yang tidak merasa berpuas hati terhadap keadaan masyarakat.


Vandalisme biasanya merujuk kepada perbuatan merosakkan harta benda awam seperti papan tanda, telefon awam, kerusi, dinding dan juga tandas awam. Kelakuan seperti ini biasanya dilakukan oleh golongan remaja yang terlibat dalam budaya lepak. Hal ini kian menular di negara kita saban hari. Harta benda awam telah dirosakkan sewenang – wenangnya. Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini telah mengundang pelbagai komplikasi dengan pelbagai pihak, dimana pihak kerajaan telah membelanjakan berjuta – juta ringgit untuk memperbaiki kemudahan awam yang telah dirosakkan oleh individu yang tidak mempunyai “ perasaan memilik’’ setiap kemudahan yang telah disediakan.


Mengapa berlakunya vandalisme??


Motif utama berlakunya gejala ini adalah disebabkan emosi. Vandalisme biasanya dianggap sebagai satu cara untuk melepaskan rasa geram, ataupun satu cara untuk menghilangkan kebosanan semata-mata. Walaupun motif mereka dianggap ringan, tetapi masyarakat awam terpaksa menanggung kerugian yang besar untuk memenuhi nafsu mereka yang hina ini.

Faktor-faktor berlakunya vandalisme

Antara faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya gejala vandalisme ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ialah:-

i) Pengaruh Rakan Sebaya

Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan berlakunya vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah terikut dan senang terpengaruh dengan rakan mereka. Rakan sebaya merupakan individu yang paling rapat selepas ibu bapa. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga.

ii) Ibu Bapa dan Keluarga

Ibu bapa merupakan pendorong kepada sifat vandalisme di kalangan remaja. Mengapa? Sebagai contoh, ketika bersiar-siar atau berjalan bersama keluarga, didapati, ada sesetengah ibu bapa membuang sampah atau sisa makanan di merata-rata di depan anak-anak mereka, maka berkemungkinan besar anak mereka juga akan berkelakuan seperti itu. Selain itu, sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme ini berasal daripada keluarga yang bermasalah atau keluarga yang mengamalkan budaya hidup negatif. Menurut kajian yang dijalankan, vandalisme dendam dilakukan oleh remaja yang inginkan kebebasan dan berlatar belakangkan keluarga yang bermasalah. Selain itu, kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak di dalam gejala negatif ini.

iii) Pengaruh Media Massa

Media massa mempunyai pengaruh yang sangat kuat dan akan meninggalkan kesan yang sangat kuat dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah untuk meniru dan mengikut apa yang dilihat di sekeliling termasuklah media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya.


iv) Sikap tidak peduli, Individualistik dan Materialistik Masyarakat

Remaja merupakan produk sistem sesebuah masyarakat. Sikap sesetengah masyarakat kini yang hanya mementingkan soal kebendaan dan tidak mengambil berat terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia ada. Menurut kajian, masalah vandalisme banyak berlaku di bandar-bandar. Golongan remaja amat gemar menconteng dan merosakkan harta benda awam yang ada. Mereka bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar agak sukar untuk dikawal. Di kawasan bandar, sesetengah penduduknya tidak mengambil berat terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu, golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk melakukan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.

Jenis-jenis vandalisme

Pelbagai jenis vandalisme yang dapat kita lihat saban hari di negara ini. Jenis vandalisme yang paling umum adalah menukar tulisan yang sedia ada dengan perkataan lain yang boleh mengubah maksud asal perkataan tersebut dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat. Hal ini makin berleluasa di sana-sini. Kita dapat melihat papan tanda dilebuh raya misalnya selalu menjadi mangsa kerana tulisan asal telah ditukar atau dipadam sesuka hati oleh mereka yang tidak mempuyai akal yang waras ini.


Bagi yang gemar mengumpul barangan plastik, aluminium, besi keluli dan tembaga pula mereka mampu manghasilkan pendapatan yang sangat lumayan. Ada diantara mereka sanggup melakukan jenayah ini semata-mata untuk memenuhi dan mancapai cita-cita dengan menambahkan lagi koleksi yang sedia ada. Mereka tidar sedar bahawa kelakuan mereka ini merupakan satu kesalahan dan tergolong dalam kegiatan vandalisme. Sebagai contoh, kejadian mencuri klip besi bagi mengikat landasan kereta api di sepanjang laluan Keretapi Tanah Melayu dari utara hingga selatan. Hal ini amat merunsingkan pengguna perkhidmatan ini kerana sejak dahulu lagi mereka telah memanfaatkan kereta api sebagai salah satu pengankutan awam yang selamat.

Selain itu, bagi industri barang lusuh dan kitar semula pula, semenjak ia berkembang pesat, secara tidak langsung dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada pengumpul barang-barang dengan harga pasaran bagi besi dan keluli yang semakin tinggi, ia kini sudah mencapai tahap membahayakan keselamatan awam kerana setiap kali terjumpa sahaja logam sama ada yang terbiar atau tidak, nescaya akan ada orang yang berminat dan sanggup mendapatkannya dengan cara yang tidak halal.

Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada projek pengindahan persekitaran yang menggunakan arca-arca keluli, lampu-lampu jalan berkerawang, penutup longkang, papan tanda dan pelbagai lagi yang diilhamkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini bakal menguntungkan pengumpul barangan dalam industri ini selagi lesen terus dikeluarkan dan tidak dipantau dengan rapi oleh pihak berkuasa.


Hukuman kepada pesalah vandalisme!!

Kepada mereka yang terlibat dengan gejala vandalism ini, hukuman yang lebih berat perlu dikenakan sebagai satu cara pencegahan yang paling baik. Pelbagai hukuman yang boleh dikenakan kepada mereka yang melakukan vandalisme ini. Ada cadangan daripada pihak masyarakat mencadangkan dimana mereka mahu supaya para pesalah didenda dengan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan awam seperti membersihkan tandas dan sebagainya. Denda ini adalah sebagai pengajaran kepada individu lain agar menjauhkan diri daripada perbuatan vandalisme. Mereka juga perlu dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada setimpal dengan apa yang mereka lakukan.


Hukuman yang setimpal dengan perbuatan itu juga perlu diambilkira kerana kebanyakan perkataan yang digunakan mempunyai unsur lucah dan memalukan kaum wanita. Setiap kali terbaca perkataan lucah di dinding jambatan, bangunan dan tempat awam hati seorang wanita akan merasa kecewa dengan sikap segelintir mereka yang tidak matang ini. Mereka sanggup mengeluarkan perkataan sebegitu tanpa rasa segan silu. Perkara ini amat memalukan dan terfikir mengapa perkara seperti ini harus berlaku? Dan apa sebenarnya yang telah berlaku kepada mereka? Hal ini dapat menimbulkan perasaan bimbang dan takut kepada masyarakat sekeliling kerana takut ia akan menular kepada kanak-kanak dewasa ini.


Selain itu, kita juga boleh mengambil contoh dari negara Singapura yang menjatuhkan hukuman berat kepada pesalah vandalisme. Justeru itu, langkah bersama yang boleh diambil adalah mengadakan program tindakan bersama seperti menganjurkan pameran yang melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Langkah-langkah mengatasi vandalisme..

i) Peranan Ibu Bapa dan Keluarga

Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang kepentingan menjaga harta benda awam. Ibu bapa seharusnya menerangkan kepada anak-anak tentang pentingnya menganggap harta benda orang lain sama seperti harta sendiri. Secara tidak langsung, sekiranya anak sudah diingatkan dengan perkara ini maka sudah tentu masalah vandalisme tidak seteruk hari ini. Ibu bapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Kesedaran juga perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

ii) Penguatkuasaan Undang-undang

Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak yang berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak melebihi setahun jika sabit kesalahan. Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalism perlu menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. (kerja ini dilakukan di tempat awam seperti pusat membeli-belah). Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pesalah vandalisme agar menjadi tauladan kepada rakan-rakan atau individu lain.

iii) Peranan Media Massa

Selain berfungsi sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga
seharusnya mempunyai tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Media massa perlu memainkan peranan yang sangat penting dan mempunyai pengaruh yang kuat dari segi menanam kesedaran untuk memperoleh kerjasama dan menyampaikan maklumat mengenai vandalisme dalam apa jua bentuk rancangan yang tersiar atau yang terdapat di dalam media massa. Media massa juga berperanan membantu pihak kerajaan dengan mengadakan kempen agar masyarakat faham dan menghayati mesej yang disampaikan dalam kempen tersebut. Contoh kempen yang boleh dianjurkan seperti “Cintailah Harta Awam”.

iv) Peranan Masyarakat dan Pihak Sekolah

Setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan memberi perhatian kepada anak mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah ini dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting dengan memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme. Pihak sekolah perlu memberi nasihat dan bimbingan yang secukupnya kepada pelajar mengenai kepentingan harta benda awam. Mereka perlu diterangkan dengan lebih mendalam tentang tanggungjawab terhadap harta benda awam kerana sedikit sebanyak ia akan memberi gambaran kepada mereka betapa pentingnya sikap dan tanggungjawab terhadap harta benda awam.


Kesimpulan

Gejala vandalisme yang berlaku ini berpunca daripada kewujudan mereka yang suka melepak tanpa sebarang haluan sehingga menjadikan kemudahan awam seperti pondok menunggu bas, papan tanda dan telefon awam dijadikan sasaran. Perbuatan ini bukan sahaja menyusahkan orang ramai tetapi secara tidak langsung menggambarkan masyarakat yang tidak mempunyai kesedaran sivik.

Tidak semua vandalisme dilakukan dengan kasar. Sebaliknya tidak semua perubahan besar dan kontroversial merupakan vandalisme. Hal ini memerlukan ketelitian untuk menentukan apakah satu data atau informasi baru itu benar atau ia merupakan vandalisme. Sehubungan itu, orang ramai juga diharap dapat memberi kerjasama dengan melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab mengenai sebarang perbuatan vandalisme.

Walaupun perbuatan vandalisme tidak memudaratkan dan membawa kerosakan yang kekal, perbuatan ini mencemarkan tempat tumpuan orang ramai. Bagaimana kalau lakaran lucah dan perkataan yang memberahikan dibaca oleh golongan muda? Ini sudah tentu akan menimbulkan imaginasi dan khayalan seks yang boleh mendorong seseorang melakukan perbuatan jenayah seperti mencabul kehormatan, rogol dan melakukan hubungan seks bebas. Selain itu, perbelanjaan yang tinggi diperlukan untuk membersihkan tempat atau kawasan yang telah diconteng. Semua usaha pembersihan dan pemulihan ini memerlukan tenaga yang banyak.

Perbuatan vandalisme tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Sesetengah pihak tidak mempedulikan perbuatan ini kerana menganggapnya sebagai fenomena sementara yang akan terhenti dengan sendiri. Sejauh manakah kebenaran ini? Vandalisme dilakukan secara berterusan daripada satu generasi kepada generasi lain. Jika perbuatan ini didiamkan begitu sahaja, sudah tentu kita menggalakkan lagi perbuatan vandalisme ini.

Walaupun selama ini perbuatan vandalisme tidak dianggap sebagai jenayah dan tiada peruntukan undang-undang untuk mendenda atau menangkap para pelakunya, remaja yang didapati melakukan vandalisme seharusnya dikenakan hukuman kompaun. Kompaun ini dapat memberi pengajaran kepada mereka yang ingin melakukan vandalisme, setidak-tidaknya mereka akan berfikir dahulu sebelum berbuat demikian.

Di ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya sikap memelihara harta benda awam ini dengan membentuk Jawatankuasa Antivandalisme yang turut dianggotai oleh jabatan lain dan agensi kerajaan. Apabila menyedari hakikat bahawa pelajar merupakan aset penting dan generasi wawasan yang akan menerajui negara pada masa hadapan, maka Jawatankuasa Antivandalisme ini telah melibatkan sekolah dan para remaja untuk turut sama menjayakan kempen ini. Jabatan Pendidikan sendiri telah menganjurkan satu kempen yang diberi tajuk “ Harta Benda Awam Milikku-Milikmu’’. Pertandingan seperti ini amat penting dan perlu dilakukan untuk menanamkan sifat lebih bertanggungjawab dan secara tidak langsung dapat menyemaikan perasaan sayang dan cinta terhadap harta benda awam.

Selain itu, masyarakat juga memainkan peranan yang penting dengan memberi kefahaman betapa buruknya akhlak mereka yang melakukan vandalisme. Contohnya, ibu bapa sebagai orang yang terdekat dengan remaja sepatutnya mendidik anak-anak mereka dengan contoh tauladan yang baik serta mengasihi dan meluangkan masa bersama anak-anak agar tidak menimbulkan fenomena kebosanan dan kekosongan di hati mereka. Pihak sekolah pula boleh menerapkan kesedaran untuk membentuk remaja yang berjiwa sihat dan berfikiran matang sebelum melangkah ke alam dewasa kelak.

Thursday, August 12, 2010

Ajaran Sesat

Oleh: MOHAMMAD ASLAH B. AB GHANI

Fenomena kemunculan ajaran sesat seringkali berlaku. Kewujudannya merentasi masa, tempat dan keadaan. Sama ada di zaman awal peradaban Islam, dialaf millenium mahupun akan datang. Paparan isu kebanyakannya didedahkan oleh pihak media secara terbuka. Memandangkan ia berkait rapat dengan agama, maka perhatian terhadapnya diberi satu tumpuan.
Ajaran Sesat didefinisikan ialah sesuatu ajaran, fahaman atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam tetapi bukan dari ajaran Islam. Bahkan bertentangan dengan ajaran Islam.
Sebahagian besar isu ajaran sesat melibatkan umat Islam. Dan segelintirnya pula melibatkan golongan bukan Islam. Mereka berjinak-jinak dengan ajaran Islam tetapi memasukinya melalui jendela atau atau atap agama. Akhirnya, cara hidup mereka menyimpang dari landasan Islam. Memandangkan isu ajaran sesat melibatkan maruah Islam dan umatnya, maka perlulah memahami, menghindari dan menyusun atur langkah proaktif dalam membendung penularannya. Hal ini penting bagi mempertahankan kesucian Islam agar terus dipelihara untuk selama-lamanya.
Ajaran sesat itu menyalahi prinsip sumber perundangan islam sendiri iaitu didapati bertentangan dengan al-Qur’an, al-Sunnah, Ijma‘ dan Qiyas. Mana-mana ajaran yang bertentangan dengan sumber tersebut secara automatik tertolak. Dan boleh diklasifikasi sebagai ajaran sesat. Contohnya, seseorang mendakwa mendapat wahyu dari malaikat dan mengaku diri sebagai nabi yang diutuskan selepas kenabian Muhammad s.a.w. kenyataan ini adalah sesat lagi menyesatkan kerana al-Qur’an, al-Sunnah jelas menegaskan Nabi Muhammad s.a.w junjungan besar nabi- nabi adalah nabi dan rasul yang terakhir yang diutuskan oleh Allah s.w.t kepada umat Islam.
Selain itu, berhubungan dengan kuasa jin, syaitan dan iblis golongan ini percaya dengan yakin bahawa wujud kuasa-kuasa ghaib selain dari Allah s.w.t yang boleh dipohon oleh individu tertentu dengan cara tersendiri. Di dalam hal ini Islam juga turut memperakuinya kewujudan kuasa-kuasa ghaib tersebut, tetapi kuasa mutlak itu adalah milik Allah jua bukannya kuasa yang berasingan dari-Nya. Golongan-golongan atau pengamal ini sanggup membuat pemujaan sesuatu yang jika difikirkan logiknya amatlah karut dan pelik bagi mendapatkan kuasa atau mencapaikan hajat-hajat mereka. Walaupun cara tersebut menyalahi aturan agama termasuklah menggunakan perantaraan roh, jin, hantu dan syaitan. Bagi mereka, perantaraan kuasa syirik ini penting demi melebarkan pengaruh dan kepercayaan masyarakat terhadap mereka. Pemujaan tersebut kekadang menjanjikan sesuatu yang luarbiasa dan kekadang tidak berganjak dari situasi yang normal. Oleh itu, tidak hairanlah jika seseorang yang tidak mendirikan solat boleh berjalan di atas air atau terbang di udara. Perbuatan tersebut dilihat berlaku secara luar biasa dari adat manusia hasil bantuan dan tipu daya makhluk halus seperti jin, syaitan dan iblis.
Memandangkan masyarakat kita begitu taksub dan teruja dengan perkara ghaib dan luar biasa ini mendorong dan menarik minat mereka untuk mengetahui lebih mendalam selain turut serta menjalani segala bentuk aktiviti seperti pemujaan bagi mendapatkan kuasa-kuasa ghaib dan luar biasa tersebut. Sesetengah mereka menganggap kejadian luar biasa tersebut adalah karamah sedangkan ia adalah istidraj bukan karamah. Karamah ialah satu kemulian yang diberikan atau dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada hamba-hambanya yang soleh dan warak, di mana cara hidup mereka bukan sekadar menepati tuntutan agama tetapi mereka begitu teruja menjaga galakan dan adab-adab yang terkandung di dalam agama Islam itu sendiri.
Berikut adalah nama-nama ajaran sesat di Malaysia yang telah diwartakan oleh pihak JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM):
1. Nasrul Haq
2. Budi Suci
3. Al-Watan
4. Budi Suci Sejati
5. Jawa Faradin
6. Silat Sunda Pukulan Ghaib
7. Tusuk Hikmat
8. Ilmu Kebatinan
9. Potong Maya
10. Naluri
11. Kaula
12. Haqqullah Syahadah
13. Rampai
14. Wali Suci
15. Kalimat Sakti
16. Silat Pukulan Jarak Jauh
17. Ilmu Tenaga Dalam Hikmat
18. Zikir Sha`ban Islam Haq
19. Asal Wujud Garis Laksmana
20. Al-Ma`zat
21. “Trancendentel Meditation”- Maharisi Mahish Yugi
22. Ilmu Kebatinan
23. Abdul Manan bin Harun- Tolak Hadis
24. Ilmu Mentauhidkan Allah oleh Nasrun S.T.Qahar
25. Kumpulan Ikhwan/al-Mas
26. Kuasa Ghaib ( Tahan Diri)
27. Mohd Nordin Putih
28. Nasrun S.T.Qahar
29. Roslan Katimun atau Ajaran Wali Sembilan
30. Tariqat Naqsyabandiyah Kadirun Yahya
31. Wali Sembilan
32. Khatijah binti Ali @ Puan Tijah
33. Syed Mutalib bin Syed Mohd Nordin
34. Ajaran Mohd Seman Al-Banjari
35. Al-Arqam
36. Golongan Anti Hadis
37. Ajaran yang disampaikan oleh Juruzon bin Abdul Latif atau dikenali juga
sebagai (Hj) Ahmad al-Walidie (Pak Su)
38. Syiah
39. Ajaran Hj. Ghazali Othman Hulu Kelang
40. Ajaran Hj.Kadar Ahmad
41. Ajaran Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana
42. Ajaran ilmu Hakikat@ Jahar Dumin Hulu Langat
43. Tarikat Mufaridiah
44. Ajaran Hassan Anak Rimau
45. Tarikat Aurad Ismailiah
46. Ajaran Martabat Tujuh
47. Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol
48. Ajaran Sulaiman ( Bahtera Nabi Noh)
49. Ajaran Ilmu Hakikat Hassan bin Jonit
50. Ajaran Ahmadiah/ Qadiani
51. Ajaran Mohd Nor Seman
52. Ajaran Ayah Pin
53. Al-Ma`unah
54 Ajaran Azhar Wahab
55. Ajaran Hj.Banuar
Terdapat beberapa faktor fenomena kemunculan ajaran sesat di negara kita. Antaranya yang boleh kita lihat seperti kejahilan terhadap sumber utama ajaran Islam yang telah mendorong seseorang itu mempelajari Islam dari sumber yang tidak wajar. Sehingga ia membuat kesimpulan dan membina kefahaman yang salah tentang Islam. Hasil dari kesilapan itu diajarkan pula kepada orang lain. Apabila kejahilan menguasai hidup, manusia sanggup menjadi musuh terhadap apa yang tidak diketahuinya. Faktor ini menyebabkan pegangan aqidah menjadi longgar dan rapuh. Akhirnya menjerumuskan seseorang ke dalam ajaran sesat atau menyeleweng.
Selain itu, tenaga spiritual yang lemah juga turut menjadi faktor keterlibatan seseorang dengan ajaran sesat. Sebahagian besar umat Islam kini kurang mengambil berat soal spiritual. Bacaan surah tertentu, hizb, zikir, wirid, doa selamat kurang diamalkan. Manakala solat-solat sunat dianaktirikan begitu sahaja. Amalan-amalan sunat pula dipandang sebelah mata. Akhirnya hati menjadi kering dan jiwa menjadi kosong menjadi tandus. Justeru, tidak hairanlah jika mereka yang berjiwa lemah mudah terpengaruh dengan ajaran sesat.
Faktor pengaruh orang terdekat seperti saudara-mara dan rakan-rakan juga turut menjadi penyebab keterlibatan seseorang dengan ajaran sesat. Imam Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Agama seseorang itu berada di bawah pengaruh temannya. Maka hendaklah dilihat siapa yang menjadi temannya.”

Keterangan lain menjelaskan bahawa jika kita bersahabat dengan orang yang kotor, kekotoran seseorang itu turut terpalit kepada kita. Dan jika kita bersahabat dengan penjual minyak wangi, maka kewangian itu juga turut mewangikan kita.
Disamping itu, masyarakat kita juga tidak prihatin dengan apa yang berlaku. Mereka tidak peka dengan pendedahan yang dilakukan pihak autoriti agama ataupun media tentang sesuatu ajaran sesat atau menyeleweng. Hasilnya, mereka masih lagi terlibat dengan ajaran sesat yang sama walau telah berkali-kali diambil tindakan oleh pemerintah dan dipapar media.
Kesimpulan yang boleh kita lihat dalam isu ajaran sesat ini ialah, kita sebagai umat Islam perlulah berpegang teguh dengan ajaran al_Quran dan al-Sunnah dengan memahami isi kandungannya dengan sempurna. Jika ada permaslahatan berkaitan dengan Islam perlulah merujuk kepada pihak yang berwajib bagi mendapat kepastian yang lebih jelas. Disamping itu semua pihak perlu prihatin dengan isu fahaman atau ajaran yang menyeleweng dari landasan Islam. Hal ini penting supaya isu-isu berkaitan dapat ditangani dengan baik dan berhikmah demi kesucian agama, maruah bangsa dan keperluan negara

Saturday, August 7, 2010

SUMBANG MAHRAM

Oleh: SAFRINA HAZLIN HASNI BINTI HASHIM

PENGENALAN

Masalah sosial yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini menunjukkan kemerosotan moral dan betapa teruknya nilai akhlak pemuda pemudi masyarakat kita di Malaysia pada era globalisasi ini. Setiap hari pasti ada sahaja berita-berita berkenaan masalah sosial terpampang di kaca televisyen, dada-dada akhbar, rangkaian internet dan sebagainya. Masalah sosial di negara kita semakin hangat diperkatakan apabila ia melibatkan golongan remaja kita yang semakin berani untuk bertindak liar dan di luar batasan normal serta agresif. Hal ini semakin merisaukan kerana ia melibatkan golongan remaja di bawah umur iaitu mereka yang masih berada di bangku sekolah. Kita turut digemparkan dengan bermacam-macam gejala sosial yang dilakukan oleh mereka, antaranya ialah kes ragut, penagihan dadah, pengambilan pil-pil khayal, rogol, pembuangan bayi, rempit, gengsterism dan sebagainya. Sumbang mahram juga merupakan salah satu kes sosial yang kerap berlaku ketika ini. “Haruan makan anak!” merupakan pepatah yang sering dikaitkan dengan gejala sumbang mahram ini.

Haruan makan anak.

(sekadar gambar hiasan)


“Datuk ratah cucu!” itulah tajuk utama akhbar Harian Metro yang bertarikh 5 ogos 2010 yang ditulis oleh Alias Abd Rani yang mengklasifikasikannya sebagai “datuk yang bernafsu haiwan” . Tajuk ini sudah cukup untuk membuktikan betapa gejala sumbang mahram ini semakin menjadi-jadi. Dahulu kes sumbang mahram ini selalunya melibatkan hubungan di antara ayah dan anak tetapi kini kes sumbang mahram ini banyak melibatkan hubungan di antara abang dengan adik. Kita sedia maklum bahawa gejala sumbang mahram ini merupakan perkara yang lebih teruk berbanding dengan perhubungan zina biasa. Perkara ini merisaukan kerana kebanyakkan mangsa yang terlibat adalah kanak-kanak perempuan atau gadis di bawah umur yang meningkat remaja. Manakala, pelaku sumbang mahram pula biasanya merupakan lelaki-lelaki yang mempunyai perhubungan yang rapat dengan mangsa. Mereka adalah termasuk bapa kandung, bapa tiri, bapa saudara, abang ipar dan juga datuk.

Contoh kes sumbang mahram


MAKNA SUMBANG MAHRAM


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sumbang mahram bermaksud perlakuan zina yang berlaku di antara dua orang anggota terdekat dalam sesebuah keluarga, misalnya antara ayah dengan anak perempuan atau abang dengan adik perempuan dan sebagainya. Selain itu, sumbang mahram turut membawa erti perbuatan zina yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai pertalian darah atau nasab iaitu keturunan. Contohnya hubungan remaja tersebut dengan ibubapa, adik-beradik, ibubapa saudara, datuk dan lain-lain. Perkataan mahram pula merupakan variasi kepada perkataan muhrim yang bermaksud laki-laki dan perempuan yang diharamkan berkahwin menurut agama Islam. Dari segi istilah juga melihat sumbang mahram adalah pencabulan seks yang berlaku di kalangan anggota keluarga di mana perkahwinan sesama sendiri ditegah atau dari segi konteks Islamnya muhrim atau mahram. Sumbang mahram di Malaysia seringkali menekankan kepada hubungan tidak wajar yang terjadi di antara seorang lelaki dan perempuan yang tidak boleh berkahwin menurut adat dan agama.


PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA SUMBANG MAHRAM


Terdapat pelbagai punca yang mendorong berlakunya gejala sumbang mahram ini. Antaranya ialah keimanan yang lemah dan gagal mengawal nafsu. Mereka gagal mengawal nafsu mereka apabila sesetengah golongan remaja perempuan yang mempunyai sikap suka menggoda disamping cara pemakaian yang boleh mengugat kaum Adam ini, terutamanya lelaki yang gagal berhubung dan menyalurkan naluri serta nafsu seks secara formal, lelaki yang kerap mengalami tekanan emosi akibat perasaan rendah diri, taksub kepada seks, keinginan seks yang tidak tercapai dengan pasangannya akan menyebabkan berlakunya kes sumbang mahram ini.

Punca seterusnya ialah tidak mengamalkan kehidupan yang disyariatkan oleh Islam. Pengetahuan agama yang cetek atau kurang penghayatan agama dalam diri individu masyarakat kini juga telah mempengaruhi gejala subang mahram ini. Penerapan ajaran agama Islam dalam diri masyarakat dan dikalangan ahli keluarga perlu dititikberatkan dari masa ke semasa dan perlu diambil tindakan yang serius. Anak-anak perlu dididik mengenai nilai-nilai kehidupan dan agama yang perlu dipatuhi sejak dari kecil lagi bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Selain itu, pertambahan masalah ini turut disertai oleh perasaan ingin tahu dan ingin mencuba. Lambakkan bahan-bahan lucah turut mempengaruhi pemikiran dan psikologi para remaja yang mempunyai perasaan ingin tahu dan mencuba sesuatu yang baru. Mereka dengan mudah memperoleh bahan-bahan ini di internet dan malah ia turut dijual secara meluas di premis-premis perniagaan. Kemudahan internet dan teknologi maklumat juga telah disalah gunakan oleh golongan remaja ini. Bahan lucah yang diperoleh akan dijadikan sumber dan mereka akan cuba mempraktikkan apa yang telah mereka lihat ke dalam kehidupan sebenar mereka.


Contoh bahan lucah

(sekadar gambar hiasan)


Punca berikutnya ialah keruntuhan institusi keluarga. Ibu bapa tidak perihatin tentang anak-anak dan tidak mengambil kira dengan siapa anak-anak mereka berkawan dan bergaul, apa yang mereka lakukan di rumah, sekolah, kolej atau universiti dan sebagainya. Hal ini kerap melanda pasangan ibu bapa yang sudah berpisah atau bercerai. Mereka tidak mengawal atau memantau anak-anak mereka sama ada di dalam atau di luar rumah kerana fokus utama mereka lebih kepada pekerjaan dan wang ringgit. Kesibukan dalam menjalankan tugas menyebabkan mereka tiada masa untuk pasangan dan anak-anak disamping sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap keluarga. Ada juga sesetengah keadaan di mana ibu menyedari tentang apa yang terjadi tetapi tidak berdaya untuk menegahnya atas sebab-sebab tertentu seperti takutkan suami atau sedar tentang kesilapan dirinya yang telah mengabaikan keperluan suami dan anak-anaknya.

Seterusnya ialah tahap ekonomi keluarga yang rendah. Keadaan rumah yang sempit dan tidak mempunyai ruang bilik yang cukup akan mempengaruhi perhubungan adik-beradik yang berlainan jantina. Tidak semua keluarga mempunyai taraf kehidupan yang senang, kita sedia maklum bahawa di Malaysia terdapat sebilangan besar keluarga yang terpaksa hidup berhimpit di dalam sebuah rumah yang kecil dengan bilangan ahli keluarga yang ramai. Mereka tidak dapat mengasingkan anak-anak perempuan dan lelaki terutamanya apabila anak-anak mula mencapai peringkat akil baligh.


KESAN TERHADAP MANGSA SUMBANG MAHRAM.


Mangsa mengalami tekanan perasaan dan emosi.

(sekadar gambar hiasan)


Berikut adalah merupakan antara kesan-kesan yang terpaksa dilalui oleh mangsa sumbang mahram. Terdapat kesan-kesan fizikal yang seringkali juga menjadi petunjuk terhadap penderaan seksual yang berlaku pada mangsa tersebut. Antaranya adalah kecederaan pada kemaluan dan dubur, bengkak atau berdarah, kecederaan tubuh badan akibat dikasari, jangkitan penyakit kelamin, perubahan jadual tidur dan gangguan tidur di samping sering mengadu sakit perut.

Terdapat juga kesan-kesan yang boleh diperhatikan dari segi tingkah laku dan perwatakan seperti perubahan emosi atau perasaan yang keterlaluan, takut kepada seseorang atau sesuatu tempat atau bersendirian, berkelakuan jauh lebih dewasa iaitu kurang sesuai dengan umur mereka atau berkelakuan yang terlalu kebudak-budakan, mula ponteng sekolah dan mutu pelajaran yang kian merosot, melahirkan perasaan sayang dengan cara yang kurang sesuai, tidak suka disentuh, hilang kepercayaan terhadap orang lain, mempunyai harga diri yang rendah, gemar asingkan diri, mengelak bertentang mata dan suka bersendirian, perasaan ingin tahu terhadap seks yang amat tinggi, menunjukkan tanda kematangan yang awal. Seandainya tidak ditangani dengan sempurna, kesan dari kejadian tadi akan terbawa-bawa hingga ke peringkat remaja dan dewasa.

Antara kesan-kesan yang biasa ditunjukkan adalah tingkah laku seksual yang keterlaluan seperti bertukar-tukar pasangan, perasaan dendam menyebabkan mangsa menjadi pendera kanak-kanak, terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat seperti penagihan dadah, perubahan emosi menyebabkan mangsa sukar berhubung dengan rakan sebaya dan masyarakat sekeliling, rasa malu dan bersalah sehingga mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.


HUKUMAN YANG DIKENAKAN TERHADAP PELAKU SUMBANG MAHRAM.


Suatu masa dahulu, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2001 dengan memasukkan sumbang mahram sebagai satu kesalahan memandangkan gejala ini semakin berleluasa di kalangan masyarakat.

Seksyen 376A mantakrifkan kesalahan sumbang mahram, manakala subseksyen 376B(1) memperuntukkan hukuman bagi kesalahan ini iaitu penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.


LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI SUMBANG MAHRAM.


Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk membendung kejadian sumbang mahram dari terus berleluasa. Antaranya adalah dengan mengukuhkan institusi keluarga dengan meluangkan masa untuk bersama dengan anak-anak dan mengawasi segala tindak-tanduk mereka. Mereka juga boleh melakukan aktiviti riadah yang sihat bersama-sama.

Menitik beratkan didikan agama dengan memantapkan keimanan dalam diri setiap individu. Mempraktikkan ajaran agama yang kukuh di kalangan anggota keluarga terutama sekali tentang nilai-nilai kehidupan yang patut diikuti dan wajib dilakukan oleh semua umat Islam.

Seterusnya, mengadakan aktiviti khas seperti program ceramah atau kursus khas tentang keibubapaan dan tanggungjawab. Memberikan kemahiran keibubapaan yang secukupnya untuk pasangan suami isteri, mengadakan pusat rujukan khidmat berterusan yang merupakan tempat di mana pasangan muda membuat rujukan tentang perkahwinan dan keibubapaan, mengadakan khutbah nikah yang khusus untuk menimbulkan keinsafan di dalam diri seorang lelaki dan peringatan tentang tanggungjawab dirinya terhadap isteri, anak-anak dan juga anak-anak tiri yang sepatutnya dilindungi olehnya.

Langkah yang berikutnya ialah memberikan pendidikan seks yang sewajarnya di sekolah dengan memberi penekanan kepada pengenalan bahagian badan, penjagaannya, pengawalannya dan mengenali batas perhubungan di antara lelaki dan wanita serta cara-cara menjaga diri daripada sebarang gangguan seksual.

Selain itu, penglibatan dan kerjasama dari agensi kerajaan atau bukan kerajaan dalam usaha menjayakan strategi membendung sumbang mahram. Antaranya seperti rancangan bersepadu yang membabitkan perumahan, pendidikan dan kemudahan prasarana untuk membendung gejala-gejala sosial dari terus berleluasa. Ini termasuklah rumah berbilik tiga untuk keselesaan penduduk, sama ada yang berpendapatan rendah ataupun yang sebaliknya di samping penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat untuk pesalah sumbang mahram dan juga undang-undang untuk melindungi mangsa.

KESIMPULAN

Gejala sumbang mahram ini bukanlah suatu perkara yang dianggap biasa dalam masyarakat kita, tambahan pula majoriti masyarakat kita beragama Islam yang mana sudah jelas bahawa gejala sumbang mahram ini adalah salah di sisi agama Islam. Oleh yang demikian, semua pihak harus berganding bahu untuk tampil dan bekerjasama memberi sepenuh komitmen untuk membendung dan seterusnya membanteras gejala sumbang mahram ini.