BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

adik cuma tanya je ibu

Saturday, August 14, 2010

HIV/AIDS

OLEH : NABILA BT HAMDAN

APA ITU AIDS?

Pada masa kini, fenomena penyakit AIDS seringkali kita dengari dimedia-media cetak mahupun elektronik yang telah banyak meragut nyawa manusia samada berpunca dari kesilapan diri sendiri ataupun dunia teknologi secara sengaja atau tidak sengaja. Situasi kes HIV/AIDS di Malaysia sehingga tahun 2008 adalah sebanyak 3,692 (Kes HIV), 941 (Kes AIDS) dan kes kematian AIDS adalah sebanyak 900. Ketiadaan vaksin dan ubat untuk mencegah dan menghapuskan penyakit AIDS ini menyukarkan lagi usaha untuk membendungnya. Penyakit AIDS ini juga berkaitan dengan HIV. Sebagaimana yang anda semua tahu, HIV ialah singkatan bagi “ Human Immunodeficieny Virus “ iaitu sejenis virus daripada kumpulan retro virus yang menghasilkan jangkitan sepanjang hayat pesakit. Kuman virus ini boleh menyebabkan kerosakan sistem daya tahan tubuh secara perlahan-lahan. HIV Positif pula ialah seseorang yang telah disahkan mempunyai HIV dalam tubuh mereka tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda dan gejala-gejala penyakit serta boleh merebak kepada orang lain. Individu ini digelar pembawa HIV di mana mereka kelihatan sihat dan dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa untuk satu jangkamasa yang panjang antara lima hingga sepuluh tahun. AIDS pula ialah “ Acquired Immune Deficiency Syndrome ” iaitu Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit di mana ia merupakan peringkat terakhir jangkitan HIV yang akan melumpuhkan keupayaan semulajadi badan untuk melawan penyakit.


TANDA-TANDA / GEJALA AIDS

Antara tanda-tanda atau simptom bagi jangkitan HIV/AIDS ialah penurunan berat badan seseorang itu melebihi 10% tanpa sebab tertentu , cirit-birit yang berlarutan, demam yang kerap dan berpanjangan , batuk-batuk yang berterusan, penyakit kandisiasis iaitu sejenis kulat dibahagian mulut, barah kulit atau penyakit “Herpis Simplex” iaitu sejenis kayap yang mana ianya akan menyebabkan kulit menjadi gatal dan seterusnya akan menyebabkan kayap itu merebak dan berulangan. Selain itu, terdapat juga gejala-gejala lain seperti jangkitan paru-paru, kelesuan badan yang berlanjutan, bengkak-bengkak kalenjar dileher, ketiak atau pangkal peha. Tanda-tanda simptom awal ini berlaku juga semasa jangkitan virus lain kerana tanda-tanda ini kadangkala hilang dengan mudahnya. Ia membuatkan ramai yang tidak mengendahkan dan menganggapnya sebagai penyakit biasa. Dengan itu, satu-satunya cara untuk mendapatkan kepastian adalah dengan menjalankan Ujian Antibodi HIV/AIDS terutamanya jika seseorang itu telah melakukan sesuatu yang berisiko untuk dijangkiti HIV/AIDS. Sebagai contoh bagi pasangan yang hendak berkahwin hendaklah membuat Ujian HIV/AIDS terlebih dahulu.


Tanda-tanda jangkitan HIV/AIDS


CARA MEREBAK

Untuk pengetahuan anda, HIV/AIDS hanya boleh berjangkit melalui darah, air mazi dan air mani termasuklah darah haid. Darah atau cecair-cecair badan boleh memasuki salur darah orang lain melalui luka, kesan lecetan atau kudis. Virus ini juga terdapat dalam tisu badan, organ, bendalir dan dalam tulang belakang dan otak. Virus HIV/AIDS ini juga dapat dikesan dalam kadar yang sedikit di dalam air mata, air liur, air kencing dan susu badan. Virus HIV/AIDS ini boleh dipindahkan atau dijangkiti melalui hubungan seks dengan seseorang yang telah dijangkiti HIV seperti pelacur atau membuat hubungan dengan ramai pasangan yang tidak diketahui status kesihatan mereka. Selain itu, menerima darah daripada orang yang telah dijangkiti HIV seperti semasa pemindahan darah, pada jarum suntikan atau pada alat-alat penembus kulit seperti bertindik telinga, tato, pisau cukur dan berkhatan. Juga terdapat kes-kes yang pernah kita dengar sebelum ini di mana mangsa kemalangan yang memerlukan darah telah dijangkiti HIV secara tidak sengaja apabila darah yang mereka terima itu adalah darah yang telah dicemari HIV. Di sini pihak manakah yang sepatutnya dipersalahkan dan apakah yang akan berlaku kepada penerima tersebut dari segi kesihatan dan kehidupannya pada masa akan datang gara-gara kecuaian pihak hospital?


LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN

Dengan itu, bagi mengawal daripada berleluasanya virus HIV/AIDS ini kita hendaklah mengetahui akan cara-cara untuk mencegahnya. Antara langkah-langkah pencegahannya ialah jangan melakukan hubungan seks luar nikah atau dengan orang yang tidak dikenali dan tidak tahu akan status kesihatannya. Bersifat setia terhadap pasangan anda. Gunakanlah kondom dengan cara yang betul untuk suami yang telah dijangkiti HIV. Tidak menggunakan jarum suntikan yang telah dicemari. Yang penting amalkanlah cara hidup yang sihat. Bagi ibu yang telah dijangkiti HIV, juga memberi risiko terhadap anaknya semasa kehamilan, melahirkan dan memberikan susu badan. Kira-kira 30% daripada bayi-bayi yang dilahirkan oleh wanita-wanita positif HIV dilaporkan dijangkiti HIV melalui ibu mereka. Bagi mengurangkan risiko ini, pengambilan ubat Anti-HIV seperti AZT perlu supaya bayi tersebut bebas daripada HIV. Gadis- gadis remaja kini juga amat terdedah kepada jangkitan HIV kerana status sosial yang rendah menyebabkan mereka mudah tewas kepada punca jangkitan . bagi mereka yang menjaga pesakit-pesakit AIDS dan yang memberi pertolongan cemas juga patut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan sarung tangan getah semasa melakukan tugas. Untuk pengetahuan anda, seseorang itu tidak dijangkiti HIV/AIDS melalui berpegangan tangan dan bersalaman, berkongsi kemudahan awam seperti telefon dan tandas awam. Juga tidak berjangkit jika kita berkongsi menggunakan cawan, gelas dan sudu mahupun melalui makanan. Ciuman atau berpelukan, pergaulan di sekolah atau tempat kerja,berkongsi buku, gigitan serangga seperti nyamuk atau kutu juga tidak akan berjangkit. Antara panduan pencegahan yang perlu dititik beratkan ialah mendidik anak dengan ilmu agama terutamanya bagi umat Islam. Ibu bapa pula perlulah menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Hiburan yang melalaikan juga harus dijauhi supaya kita tidak terleka dan seterusnya boleh menjerumus ke arah keburukan. Peranan pemimpin masyarakat juga perlu untuk membendung penularan kes ini serta kerjasama semua pihak amat penting bagi membantu pesakit-pesakit ini sekaligus dapat memberikan mereka galakan dan sokongan untuk meneruskan hidup mereka. Teruskanlah berdoa kepada Allah, agar kita semua dipelihara daripada segala kesusahan, penderitaan dan bencana.

Beginilah keadaan pesakit AIDS yang terlantar menderita

0 comments: