BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

adik cuma tanya je ibu

Thursday, July 29, 2010

GEJALA BUANG BAYI

Oleh: SYUHAILA SHUKOR


Pengenalan

Remaja adalah seorang manusia yang berusia antara 14-21 tahun. Pada usia tersebut mereka sangat naif terhadap apa-apa perkara, mereka selalu ingin mencuba semua yang ada di dunia ini tanpa memikirkan akibatnya di masa yang akan datang. Masalah sosial memang hebat dibincangkan di mana-mana sahaja di dunia ini dan kini lebih hebat dibincangkan dari masa kesemasa di Malaysia sendiri. Bukan sahaja masalah ini terjadi di negara membangun tetapi di negara maju dan juga dunia ketiga. Remaja masa kini hidup penuh dengan cabaran demi kemajuan dan kemodenan sehingga mereka kini hidup dengan penuh kebebasan. Kebebasan remaja kini tiada terbatas lagi hingga berlaku pelbagai masalah sosial di kalangan mereka yang bergelar remaja.

Punca masalah

Penyakit ini sebenarnya sudah lama bertapak di negara kita. Ia disebabkan oleh banyak faktor, antaranya adalah suasana persekitaran yang berubah secara mendadak terutamanya dengan pengaruh media massa dan elektronik yang saban hari memaparkan tentang eksploitasi terhadap wanita dan kebebasan remaja yang keterlaluan yang banyak mempengaruhi pemikiran golongan muda terutama yang baru meningkat remaja. Dengan kurangnya didikan agama dan kasih sayang dari ibu bapa, perasaan ingin mencuba, desakan atau pengaruh dari rakan sebaya ini semua sebab terjadinya masalah sosial yang kian sukar dibendung lagi. Masalah sosial yang melanda remaja pada masa kini terjadi daripada beberapa faktor. Antaranya selain dari yang diberikan di atas merupakan pengaruh atau ugutan daripada rakan sebaya, kekurangan ilmu bagi menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar dan mempunyai sikap ingin mencuba sesuatu yang tidak baik dan.

Kejadian membuang bayi bukan merupakan satu perkara yang baru. Gejala tersebut telah dikesan lama dahulu dan pernah menjadi heboh beberapa tahun yang lalu. Kini gejala buang bayi diperkatakan semula berikutan semakin ramai bayi yang ditemui sama ada dalam keadaan hidup atau mati di merata tempat. Kalau sebelum ini, kita dikejutkan dengan penemuan bayi di dalam tong sampah, longkang, pintu pagar masjid, bawah pokok, kaki lima, tandas dan depan rumah orang. Tetapi kini cara membuang bayi jauh lebih ekstrem dan tidak masuk akal. Bayi-bayi itu yang dibuang dan sesetengahnya dibiarkan mati hasil daripada keterlanjuran yang dilakukan oleh ibu mereka yang kebanyakannya masih muda remaja. Bayi yang dilahirkan itu hasil daripada perhubungan seks yang dilakukan secara haram dan pergaulan bebas yang sudah menjadi trend bagi masyarakat kita.

Gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh masalah keruntuhan moral yang serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan bahawa masyarakat kita sedang sakit. Sekaligus menunjukkan betapa proses pembangunan yang dilaksanakan dalam negara kita berada pada kedudukan yang tidak seimbang. Terdapat sesuatu yang tidak kena pada program pembangunan sosial negara. Begitu juga dengan sistem pendidikan yang telah gagal membendung pelbagai gejala dan kegiatan tidak sihat di kalangan pelajar-pelajar sekolah.

Hasil kajian seorang pensyarah di UKM yang mendapati hampir kesemua responden pelajar perempuan yang dikajinya di sekolah menengah di negeri Selangor pernah melakukan hubungan seks adalah asas yang paling kuat untuk menunjukkan kepincangan yang berlaku pada sistem pendidikan dan pembangunan sosial negara. Ini belum lagi termasuk gejala-gejala lain seperti penyebaran ajaran Black Metal, Gothic, Punk, budaya Money Boy, Bohsia, Mat Rempit, Budak Makan Sampah, dan sebagainya. Sesungguhnya apa yang sedang berlaku kepada golongan remaja dan pelajar sekolah seharusnya memberikan kesedaran kepada para pimpinan negara kita untuk memberikan perhatian yang serius bagi menangani permasalahan yang sedang berlaku itu.

Berdasarkan kepada statistik yang dikemukakan oleh pihak berkuasa didapati bahawa gejala pembuangan bayi telah mencatatkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Pada tahun 2006, sebanyak 83 kes telah dicatatkan di seluruh negara berbanding 65 kes pada 2000. Sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT).

Walaupun berpendidikan tinggi tetapi demi untuk menutup malu dan melindungi perbuatan songsang mereka sanggup membuang dan membunuh anaknya sendiri. Ini membuktikan bahawa manusia tidak kira apa peringkat dan kedudukan boleh melakukan perkara yang di luar dugaan bila mereka berada pada keadaan yang tertekan. Mereka sanggup menjadi pembunuh dan pendera apabila tidak menemui jalan keluar terhadap masalah yang dihadapinya.

Sama ada disedari atau pun tidak gejala buang bayi mempunyai hubungan yang rapat dengan penyakit yang sedang dihidapi oleh masyarakat kita. Penyakit-penyakit sosial ini ini ada kaitan pula dengan dasar yang dilaksanakan dalam sebuah negara. Kalau sekali pun dasar itu baik tetapi perlaksanaannya bermasalah dan penuh dengan penyelewengan, penyalahgunaan, kepincangan, rasuah serta beraneka kebobrokan yang lain maka dasar yang yang cantik akhirnya akan meninggalkan kesan yang hodoh sekali.

Dan salah satunya ialah gejala buang bayi yang menunjukkan bahawa masyarakat kita kian hilang peri kemanusiaan dan nilai ketamadunannya sehingga mereka tidak lagi merasa sedih dengan apa sedang melanda itu. Sebaliknya gejala buang bayi dilihat sebagai suatu fenomena yang biasa dan harga yang perlu dibayar untuk mencapai taraf negara maju serta masyarakat yang up to date. Orientasi pemikiran sebegini perlu diperbetulkan. Yang boleh membetulkannya ialah pihak yang diberikan kuasa dan mandat untuk mengendalikan hala tuju serta perjalanan negara ini. Pilihan dibuat oleh masyarakat dan kita sebagai anggota masyarakat harus merasa bertanggungjawab terhadap apa yang sedang terjadi dewasa ini.


Cara mengatasi

Untuk menangani masalah pembuangan bayi, kerajaan tidak mempunyai pilihan lain kecuali memperkukuhkan institusi keluarga sebagai elemen penting dalam proses pembangunan sosial. Bagi mencapai tujuan itu, pendidikan agama harus diberikan keutamaan dengan memberikan galakkan dan sokongan untuk menghidupkan sekolah agama rakyat.Bagi memenuhi hasrat tersebut, masjid, surau, madrasah dan institusi keagamaan yang lain perlu dihidupkan semula. Membiarkan masjid dan surau sepi tanpa sebarang program yang berbentuk keilmuan dan bercorak kemasyarakatan hanya akan menyebabkan golongan remaja berpaling kepada pusat-pusat hiburan untuk memenuhi keperluan jiwa serta rohani mereka yang kosong.


kesimpulan

Ukuran kepada kemajuan perlu berdasarkan kepada indikator etika dan nilai ketamadunanan yang telah dicapai oleh rakyat sesebuah negara seperti peningkatan taraf sosial yang meliputi aspek-aspek yang berkaitan dengan moral, peratusan celik ilmu yang tinggi dan gaya hidup yang sihat serta seimbang di antara jasamani serta rohani. Pembangunan yang tidak mengambil kira aspek-aspek ini pada hakikatnya tidak boleh dianggap sebagai kemajuan tetapi adalah satu kemunduran yang menyebabkan masyarakat hidup dalam keadaan yang tertekan dengan pelbagai kenaikan kos hidup yang tidak terkawal.

Tidak gunanya kita mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara islam kalau pegangan agama dan akidah umat islam berada di ambang kehancuran. Akidah merupakan asas kekuatan kepada umat islam. Jadi usaha-usaha perlu dirangka untuk memantapkan akidah orang-orang islam melalui pelbagai program yang bercorak keagamaan bukannya hiburan yang telah mendominasi kehidupan rakyat negara ini.

Wednesday, July 28, 2010

BUDAYA GEJALA LEPAK




Oleh : Wan Noor Marniza Binti Wan Marzudi

PENGENALAN

Pelbagai jenis atau amalam kurang baik dikalangan masyarakat, seperti remaja yang mana banyak menghabiskan masa dengan duduk tanpa melakukan kegiatan yang boleh mendatangkan faedah kepada gejala sosial yang terdapat di Malaysia yang telah melanda masyarakat kita salah satu daripadanya ialah budaya gejala lepak. Sebenarnya lepak tidak boleh diklasifikasikan sebagai budaya. Ini kerana budaya merujuk kepada aktiviti yang melibatkan jumlah lebih daripada seorang atau dikenali sebagai berkumpulan. Merujuk kamus dewan edisi empat lepak didefinisikan sebagai berbuat sesuatu tanpa mendatangkan faedah

gambar hiasan

Lepak seringkali ditunding kepada golongan muda yang mana terdiri daripada golongan remaja tidak kira samaada mereka pelajar sekolah mahupun pelajar universiti. Dimana kita dapat melihat mereka ini berpeleseran tanpa arah tujuan..Lepak terbahagi kepada banyak jenis antaranya bershuffle, merempit, menghabiskan masa memerhatikan gelagat manusia lain dan lain-lain lagi. Lepak yang dahulunya dikaitkan dengan remaja dan kini mereka telah membesar dan dewasa masih wujud Cuma ia berlaku dalam situasi yang agak berbeza. Ada yang mengatakan lepak ini adalah aktiviti santai tapi ia boleh membawa kepada kebaikan dan keburukan. Hari ini gejala lepak telah mengalami tranformasi yang mana dahulu lokasi remaja melepak adalah di tempat awam seperti taman-taman permainan, kawasan pejalan kaki dan stesen bas sering menjadi lokasi utama. Sekarang ini tempat untuk mereka melepak lebih eksklusif seperti kopitiam yang bertaraf antarabangsa dan juga pusat-pusat hiburan

KENAPA REMAJA MELEPAK?
  • Ada dikalangan mereka tidak gemar atau tidak suka duduk dirumah kerana mereka bosan mendengar leteran ibubapa mereka.
  • Ada pula yang berpendapat rumah itu ibarat hotel dimana hanya tempat untuk mereka menukar pakaian mahupun untuk mereka tidur sahaja.
  • Tetapi ada remaja mengatakan tujuan mereka melepak adalah kerana semasa di rumah mereka tidak mempunyai kawan untuk bersembang.
  • Bagi sesetengah remaja persekitaran luar rumah lebih baik dari dalam rumah.

FAKTOR-FAKTOR

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan remaja suka melepak. SIKAP SESETENGAH IBUBAPA yang tidak mengambil berat mengenai anak-anak mereka menyebabkan mereka merasakan tersisih dan tidak diperlukan. ibu bapa juga kurang mengawal anak-anak mereka , kerana beranggapan anak remaja ini mendapat sepenuh perhatian oleh guru mereka semasa di sekolah. Selain itu, PERSEKITARAN DI RUMAH juga banyak mendorong remaja untuk keluar dari rumah dan menghabiskan masa dengan melepak ini kerana mereka amat tertekan dengan keadaan dirumah yang tidak tenteram.contohnya seperti ibubapa yang tiada persefahaman dan acapkali bertengkar membuatkan remaja tidak selesa untuk tinggal duduk dirumah. Selain itu keadaan rumah juga turut memainkan peranan dimana jika rumah itu dalam keadaan yang tidak selesa menyebabkan remaja tidak senang untuk duduk di rumah. Contohnya seperti keluarga yang ramai dan keadaan rumah yang agak sempit menyebabkan ketidakselesaan terjadi. Dengan ini menunjukkan keadaan rumah yang tidak selesa merupakan salah satu faktor yang mendorong remaja keluar dari rumah dan cara yang paling sesuai bagi mereka adalah dengan melepak. PENGARUH RAKAN SEBAYA, faktor ini turut memainkan peranan yang amat tinggi dimana boleh dikatakan lepak wujud kerana pengaruh ini. Pada peringkat remaja, mereka banyak bergantung kepada rakan-rakan. Mereka juga mudah terpengaruh untuk mencuba sesuatu yang baru. Oleh yang demikian banyak kita lihat para remaja sekarang mudah terlibat dengan pelbagai aktiviti sosial yang lain. Selain daripada faktor-faktor yang disebut PENGARUH MEDIA MASA DAN ELEKTRONIK juga turut memainkan peranan yang menggalakkan kepada gejala melepak. Seperti yang kita ketahui separuh daripada rancangan televisyen kita telah didominasi oleh rancangan barat. Selain itu, seperti yang diketahui apa yang disiarkan oleh televisyen juga merupakan sedikit sebanyak dapat mempengaruhui jiwa remaja-remaja kita.Faktor terbesar kenapa remaja melepak adalah diri remaja itu sendiri ini kerana setiap remaja ada keinginan yang mana mereka mahukan kebebasan, keprihatinan serta kasih sayang. Mereka bersikap ingin tahu serta mencuba sesuatu yang baru.

KESAN DARIPADA MELEPAK

KESAN KEPADA REMAJA ITU SENDIRI di mana mereka kurang kemahiran dan taraf pendidikannya rendah. Remaja ini banyak menimbulkan masalah dan menjadi beban kepada ibu bapa dan masyarakat. Ini kerana remaja yang melepak terlibat dengan pengangguran, pendidikan tidak kesampaian atau keciciran lebih awal, kehidupan keluarga yang tidak terurus dengan baik, kurang disiplin dan pengawalan diri, mudah terpengaruh, tidak menyukai tugas yang memerlukan tumpuan dan daya usaha, asas pendidikan agama yang lemah, putus asa kerana gagal dalam sesuatu hal yang berkaitan dengan diri sendiri, tidak mempunyai cita-cita yang kuat, kurang rasa tanggungjawab, tidak mampu mengambil cabaran, tidak ada daya usaha, dan mengharapkan oranglain. Selain dari itu, budaya lepak juga turut memberi KESAN KEPADA NEGARA. seperti diketahui remaja merupakan tonggak kepada masa depan sesuatu negara dan juga memberi gambaran kepada identiti sebuah negara. Sebagai contoh budaya gejala lepak ini boleh memberi gambaran buruk kepada pelancong-pelancong yang pertama kali menjejak kaki ke Malaysia. Bagaimana persepsi mereka tentang masyarakat kita? Negara kita akan dipandang serong oleh mereka. Hal ini disebabkan oleh masalah budaya lepak yang semakin menjadi-jadi.

CARA MENGATASI

Adalah wajar semua pihak mengatasi masalah ini. Salah satu penyelesaian yang dapat diambil ialah ibu bapa harus berperanan sebagai orang penting untuk memacu anak-anak mereka . Ini kerana seperti diketahui ibu bapalah yang paling hampir dengan remaja. Ibubapa perlu memberi perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka dimana sentisa memerhatikan pergerakan anak-anak mereka. Selain itu, ibubapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa mereka bersama dengan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak. Selain itu Pihak kerajaan khususnya, langkah segera perlu diambil bagi menangani masalah ini pihak kerajaan perlu mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan iklan-iklan di siaran televisyen tempatan tentang natijah melepak kepada pelajar. Dengan itu, ianya mungkin dapat memberikan sedikit kesedaran kepada para pelajar. Selain itu, kempen anti melepak perlu dilakukan dari sekolah ke sekolah kerana cara itu lebih mesra pelajar Kempen anti melepak adalah satu cara terbaik dalam menangani masalah lepak ini daripada terus merebak. Media cetak dan Elektronik juga dapat membantu dalam menangani masalah remaja lepak ini seperti memainkan peranan dalam usaha mendidik ibu bapa remaja keatas cara gaya keibubapaan. Dimana program atau risalah yang dapat memberi panduan kepada mereka akan kepentingan hubungan kekeluargaan.walau sesibuk mana ibubapa tersebut keluarga perlu diutamakan


KESIMPULAN

Secara kesimpulan fenomena gejala lepak yang menjadi tunjang kepada kejala sosial wajar diberi perhatian oleh semua pihak yang bertanggungjawab. Ia penting untuk mendapatkan kesejahteraan dan ketenteraman hidup yang harmoni dan aman seiring dengan kemajuan Negara. setiap peringkat umur perlu menghindari amalan yang kurang baik ini, agar masa yang ada dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

gambar hiasan

Pepatah melayu ada mengatakan masa itu adalah emas, masa tidak akan kembali berulang dan akan terus berlalu walaupun sesaat. Oleh itu, pembaziran masa amat merugikan kerana banyak kemahiran dan pembelajaran sosial yang dapat kita pelajari sekiranya dimanfaatkan dengan perkara berfaedah.