BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

adik cuma tanya je ibu

Thursday, August 12, 2010

Ajaran Sesat

Oleh: MOHAMMAD ASLAH B. AB GHANI

Fenomena kemunculan ajaran sesat seringkali berlaku. Kewujudannya merentasi masa, tempat dan keadaan. Sama ada di zaman awal peradaban Islam, dialaf millenium mahupun akan datang. Paparan isu kebanyakannya didedahkan oleh pihak media secara terbuka. Memandangkan ia berkait rapat dengan agama, maka perhatian terhadapnya diberi satu tumpuan.
Ajaran Sesat didefinisikan ialah sesuatu ajaran, fahaman atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam tetapi bukan dari ajaran Islam. Bahkan bertentangan dengan ajaran Islam.
Sebahagian besar isu ajaran sesat melibatkan umat Islam. Dan segelintirnya pula melibatkan golongan bukan Islam. Mereka berjinak-jinak dengan ajaran Islam tetapi memasukinya melalui jendela atau atau atap agama. Akhirnya, cara hidup mereka menyimpang dari landasan Islam. Memandangkan isu ajaran sesat melibatkan maruah Islam dan umatnya, maka perlulah memahami, menghindari dan menyusun atur langkah proaktif dalam membendung penularannya. Hal ini penting bagi mempertahankan kesucian Islam agar terus dipelihara untuk selama-lamanya.
Ajaran sesat itu menyalahi prinsip sumber perundangan islam sendiri iaitu didapati bertentangan dengan al-Qur’an, al-Sunnah, Ijma‘ dan Qiyas. Mana-mana ajaran yang bertentangan dengan sumber tersebut secara automatik tertolak. Dan boleh diklasifikasi sebagai ajaran sesat. Contohnya, seseorang mendakwa mendapat wahyu dari malaikat dan mengaku diri sebagai nabi yang diutuskan selepas kenabian Muhammad s.a.w. kenyataan ini adalah sesat lagi menyesatkan kerana al-Qur’an, al-Sunnah jelas menegaskan Nabi Muhammad s.a.w junjungan besar nabi- nabi adalah nabi dan rasul yang terakhir yang diutuskan oleh Allah s.w.t kepada umat Islam.
Selain itu, berhubungan dengan kuasa jin, syaitan dan iblis golongan ini percaya dengan yakin bahawa wujud kuasa-kuasa ghaib selain dari Allah s.w.t yang boleh dipohon oleh individu tertentu dengan cara tersendiri. Di dalam hal ini Islam juga turut memperakuinya kewujudan kuasa-kuasa ghaib tersebut, tetapi kuasa mutlak itu adalah milik Allah jua bukannya kuasa yang berasingan dari-Nya. Golongan-golongan atau pengamal ini sanggup membuat pemujaan sesuatu yang jika difikirkan logiknya amatlah karut dan pelik bagi mendapatkan kuasa atau mencapaikan hajat-hajat mereka. Walaupun cara tersebut menyalahi aturan agama termasuklah menggunakan perantaraan roh, jin, hantu dan syaitan. Bagi mereka, perantaraan kuasa syirik ini penting demi melebarkan pengaruh dan kepercayaan masyarakat terhadap mereka. Pemujaan tersebut kekadang menjanjikan sesuatu yang luarbiasa dan kekadang tidak berganjak dari situasi yang normal. Oleh itu, tidak hairanlah jika seseorang yang tidak mendirikan solat boleh berjalan di atas air atau terbang di udara. Perbuatan tersebut dilihat berlaku secara luar biasa dari adat manusia hasil bantuan dan tipu daya makhluk halus seperti jin, syaitan dan iblis.
Memandangkan masyarakat kita begitu taksub dan teruja dengan perkara ghaib dan luar biasa ini mendorong dan menarik minat mereka untuk mengetahui lebih mendalam selain turut serta menjalani segala bentuk aktiviti seperti pemujaan bagi mendapatkan kuasa-kuasa ghaib dan luar biasa tersebut. Sesetengah mereka menganggap kejadian luar biasa tersebut adalah karamah sedangkan ia adalah istidraj bukan karamah. Karamah ialah satu kemulian yang diberikan atau dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada hamba-hambanya yang soleh dan warak, di mana cara hidup mereka bukan sekadar menepati tuntutan agama tetapi mereka begitu teruja menjaga galakan dan adab-adab yang terkandung di dalam agama Islam itu sendiri.
Berikut adalah nama-nama ajaran sesat di Malaysia yang telah diwartakan oleh pihak JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM):
1. Nasrul Haq
2. Budi Suci
3. Al-Watan
4. Budi Suci Sejati
5. Jawa Faradin
6. Silat Sunda Pukulan Ghaib
7. Tusuk Hikmat
8. Ilmu Kebatinan
9. Potong Maya
10. Naluri
11. Kaula
12. Haqqullah Syahadah
13. Rampai
14. Wali Suci
15. Kalimat Sakti
16. Silat Pukulan Jarak Jauh
17. Ilmu Tenaga Dalam Hikmat
18. Zikir Sha`ban Islam Haq
19. Asal Wujud Garis Laksmana
20. Al-Ma`zat
21. “Trancendentel Meditation”- Maharisi Mahish Yugi
22. Ilmu Kebatinan
23. Abdul Manan bin Harun- Tolak Hadis
24. Ilmu Mentauhidkan Allah oleh Nasrun S.T.Qahar
25. Kumpulan Ikhwan/al-Mas
26. Kuasa Ghaib ( Tahan Diri)
27. Mohd Nordin Putih
28. Nasrun S.T.Qahar
29. Roslan Katimun atau Ajaran Wali Sembilan
30. Tariqat Naqsyabandiyah Kadirun Yahya
31. Wali Sembilan
32. Khatijah binti Ali @ Puan Tijah
33. Syed Mutalib bin Syed Mohd Nordin
34. Ajaran Mohd Seman Al-Banjari
35. Al-Arqam
36. Golongan Anti Hadis
37. Ajaran yang disampaikan oleh Juruzon bin Abdul Latif atau dikenali juga
sebagai (Hj) Ahmad al-Walidie (Pak Su)
38. Syiah
39. Ajaran Hj. Ghazali Othman Hulu Kelang
40. Ajaran Hj.Kadar Ahmad
41. Ajaran Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana
42. Ajaran ilmu Hakikat@ Jahar Dumin Hulu Langat
43. Tarikat Mufaridiah
44. Ajaran Hassan Anak Rimau
45. Tarikat Aurad Ismailiah
46. Ajaran Martabat Tujuh
47. Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol
48. Ajaran Sulaiman ( Bahtera Nabi Noh)
49. Ajaran Ilmu Hakikat Hassan bin Jonit
50. Ajaran Ahmadiah/ Qadiani
51. Ajaran Mohd Nor Seman
52. Ajaran Ayah Pin
53. Al-Ma`unah
54 Ajaran Azhar Wahab
55. Ajaran Hj.Banuar
Terdapat beberapa faktor fenomena kemunculan ajaran sesat di negara kita. Antaranya yang boleh kita lihat seperti kejahilan terhadap sumber utama ajaran Islam yang telah mendorong seseorang itu mempelajari Islam dari sumber yang tidak wajar. Sehingga ia membuat kesimpulan dan membina kefahaman yang salah tentang Islam. Hasil dari kesilapan itu diajarkan pula kepada orang lain. Apabila kejahilan menguasai hidup, manusia sanggup menjadi musuh terhadap apa yang tidak diketahuinya. Faktor ini menyebabkan pegangan aqidah menjadi longgar dan rapuh. Akhirnya menjerumuskan seseorang ke dalam ajaran sesat atau menyeleweng.
Selain itu, tenaga spiritual yang lemah juga turut menjadi faktor keterlibatan seseorang dengan ajaran sesat. Sebahagian besar umat Islam kini kurang mengambil berat soal spiritual. Bacaan surah tertentu, hizb, zikir, wirid, doa selamat kurang diamalkan. Manakala solat-solat sunat dianaktirikan begitu sahaja. Amalan-amalan sunat pula dipandang sebelah mata. Akhirnya hati menjadi kering dan jiwa menjadi kosong menjadi tandus. Justeru, tidak hairanlah jika mereka yang berjiwa lemah mudah terpengaruh dengan ajaran sesat.
Faktor pengaruh orang terdekat seperti saudara-mara dan rakan-rakan juga turut menjadi penyebab keterlibatan seseorang dengan ajaran sesat. Imam Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Agama seseorang itu berada di bawah pengaruh temannya. Maka hendaklah dilihat siapa yang menjadi temannya.”

Keterangan lain menjelaskan bahawa jika kita bersahabat dengan orang yang kotor, kekotoran seseorang itu turut terpalit kepada kita. Dan jika kita bersahabat dengan penjual minyak wangi, maka kewangian itu juga turut mewangikan kita.
Disamping itu, masyarakat kita juga tidak prihatin dengan apa yang berlaku. Mereka tidak peka dengan pendedahan yang dilakukan pihak autoriti agama ataupun media tentang sesuatu ajaran sesat atau menyeleweng. Hasilnya, mereka masih lagi terlibat dengan ajaran sesat yang sama walau telah berkali-kali diambil tindakan oleh pemerintah dan dipapar media.
Kesimpulan yang boleh kita lihat dalam isu ajaran sesat ini ialah, kita sebagai umat Islam perlulah berpegang teguh dengan ajaran al_Quran dan al-Sunnah dengan memahami isi kandungannya dengan sempurna. Jika ada permaslahatan berkaitan dengan Islam perlulah merujuk kepada pihak yang berwajib bagi mendapat kepastian yang lebih jelas. Disamping itu semua pihak perlu prihatin dengan isu fahaman atau ajaran yang menyeleweng dari landasan Islam. Hal ini penting supaya isu-isu berkaitan dapat ditangani dengan baik dan berhikmah demi kesucian agama, maruah bangsa dan keperluan negara

0 comments: